Sebenarnya ada banyak petua rawatan jaundice untuk hilangkan atau turunkan kuning bayi.
Saya berpengalaman melihat sendiri petua menurunkan jaundice bayi ini sejak awal tahun 90-an. Semasa itu, anak-anak saudara saya ramai yang masih bayi.
Antara petua tradisional hilangkan kuning bayi yang biasa saya dengar ialah:
1) Mandi Air Herba Cina
Saya rasa petua hilangkan kuning bayi dengan memandikan bayi jaundice dengan air rebusan herba Cina (yellow fruit flower – hwang gwor zhi) ini sangat popular pada suatu masa dahulu.
Tetapi adakah ianya betul-betul berkesan? Saya rasa tidak.
Sebab air rebusan herba Cina itu warnanya kuning pekat yang menjadikan kulit bayi jaundice bertambah kuning.
Malah memandikan bayi yang baru lahir dengan air rebusan herba sebegini tidak digalakkan. Sebab kulit bayi baru lahir sangat sensitif dan boleh menyebabkan masalah kulit seperti ruam dan gatal.
2) Jemur Bayi Bawah Matahari
Satu lagi petua kurangkan jaundice bayi ialah dengan menjemur bayi di bawah sinaran matahari pagi.
Mungkin pada masa dahulu petua hilangkan kuning bayi ini berkesan. Tetapi pada masa ini tindakan anda menjemur bayi baru lahir di bawah matahari boleh membawa padah.
Lapisan ozon semakin nipis dan cahaya UV yang merbahaya boleh menyebabkan kulit bayi baru lahir yang sensitif terdedah kepada kerosakan akibat sinar UV langsung yang berlebihan.
3) Minum Susu Kambing Segar
Petua hilangkan jaundice bayi dengan memberikan bayi jaundice minum susu kambing segar ini telah saya dengar sejak tahun 90-an lagi.
Malah saya sendiri tidak terdaya melawan apabila suami disarankan memberi anak kami minum susu kambing. Akibatnya, bayi kami hampir kritikal kerana jangkitan kuman pada usus!
Usus bayi baru lahir masih tidak matang untuk memproses susu haiwan segar yang mungkin dicemari dengan bakteria.
Jangan ulangi kesilapan yang saya telah buat.
4) Mandi Rebusan Daun Bunga Raya, Sirih dan Air Kelapa
Petua hilangkan kuning bayi jaundice dengan mandian air rebusan herba dan daun seperti daun bunga raya / sirih juga adalah petua uturunkan jaundice bayi yang popular dari mulut ke mulut.
Tetapi sejauh manakah keberkesanan mandian ini dalam menghilangkan kuning pada bayi?
Sekali lagi saya tekankan bahawa kulit bayi baru lahir sangat sensitif dan mandian ini boleh menyebabkan masalah kulit seperti ruam dan gatal.
5) Minum Air Lendir Kacang Bendi
Bayi baru lahir hanya boleh minum susu ibu atau susu formula khas untuk bayi.
Selain daripada itu JANGAN berikan pada bayi jaundice anda! Usus bayi baru lahir belum matang untuk memproses air tersebut.
6) Minum Air Sengkuang Cina
Petua hilangkan jaundice bayi dengan memberikan bayi jaundice minum air parutan sengkuang Cina ini tidak patut anda ikuti.
Segala jenis minuman selain susu ibu atau susu formula bayi TIDAK BOLEH diberikan pada bayi walaupun sedikit.
7) Mandi Air Rebusan Pokok Dukung Anak
Saya terjumpa satu lagi petua kurangkan kuning bayi jaundice iaitu memandikan bayi dengan air rebusan pokok dukung anak. Pokok apa ini? Saya pun baru pertama kali dengar.
Tetapi apa jua petua hilangkan jaundice yang melibatkan mandian atau minuman kepada bayi jaudice sepatutnya anda TIDAK IKUT.
- mandian bayi baru lahir sebaiknya hanya air paip sahaja TANPA sabun dan air rebusan herba / daun / bunga
- bayi baru lahir hanya boleh minum susu ibu atau susu formula khas untuk bayi kerana usus masih belum matang
Jaundice pada bayi biasa berlaku 2-3 hari selepas bayi lahir. Kemudian memuncak pada hari 4-7. Jaundice pada bayi akan hilang dalam masa 10-14 hari.
Jadi, hanya kebetulan sahaja selepas berhari-hari memandikan bayi dengan air herba atau rebusan daun atau bagi minum susu kambing atau lendir bendi tiba-tiba bayi hilang kuning.