Jaundice adalah penyakit kuning pada bayi baru lahir. Hampir 70% bayi baru lahir akan kena jaundice. Sebab apa baby kena jaundice kuning?
Jaundice atau kuning pada bayi adalah disebabkan paras bilirubin dalam darah semakin menaik. Bilirubin ialah pigmen warna kuning yang terhasil dari pemecahan sel darah merah.
Hayat sel darah merah bayi baru lahir sangat pendek berbanding orang dewasa. Sebaik dilahirkan sel darah merah yang dihasil semasa berada dalam kandungan akan mula mati dan pecah.
Tetapi hati bayi baru lahir masih tidak begitu matang untuk memproses bilirubin yang tidak larut air menjadi larut air dengan cepat supaya senang dibuang.
Kuning pada bayi biasanya berlaku pada hari ke 2-3 selepas bayi lahir. Kemudian memuncak pada hari 4-7. Jaundice pada bayi biasanya akan hilang dalam masa 10-14 hari.
Cara nak pastikan samada bayi kena jaundice mudah sahaja.
- Bawa bayi di bawah cahaya yang cerah (tepi tingkap).
- Tengok muka, badan dan mata putih bayi.
- Gunakan ibu jari untuk tekan dan lepas kulit bayi (blanching the skin).
- Tengok warna kulit lepas ditekan. Kalau ada jaundis atau memang akan nampak kulit dan mata putih kekuningan.
Jaundice pada bayi baru lahir yang sedikit biasanya tak merbahaya dan akan hilang dalam beberapa hari.
Tetapi jika paras kuning bilirubin terlalu tinggi, ia boleh memberi kesan buruk pada saraf bayi. Bayi akan merasa mengantuk dan penat melampau (lethargic). Sebab itu bayi jaundice biasanya akan lemah, tidur lama dan tidak bangun untuk menyusu.
Rawatan Jaundice Pada Bayi
Rawatan Fototerapi
Rawatan fototerapi menggunakan cahaya biru (blue spectrum of light) untuk memecahkan bilirubin dari yang tidak larut kepada yang larut.
Apabila bilirubin sudah larut maka ianya mudah untuk dibuang dari badan melalui air kencing dan najis.
Rawatan fototerapi pada bayi jaundis perlu jika:
- Kuning pada bayi terjadi dalam masa 24 jam selepas lahir.
- Jaundice pada bayi terjadi dalam masa 2-3 hari selepas lahir dan paras bilirubin lebih dari 200 umol/L.
Jaundice pada bayi sebaik selepas dilahirkan mungkin disebabkan masalah hati dan hempedu, jangkitan kuman dalam darah, masalah dengan enzim darah merah G6PD, darah ibu tidak serasi, hormon tiroid rendah dan trauma semasa kelahiran secara forceps/vakum.
Penukaran Darah (Exchange Transfusion)
Penukaran darah terpaksa dibuat jika kuning pada bayi terlalu teruk iaitu paras serum bilirubin mencecah melebihi 400 umol/L dan rawatan lampu biru tidak berjaya mengurangkan paras bilirubin dengan cepat.
Darah bayi jaundice akan dikeluarkan secara perlahan melalui tiub di saluran darah tali pusat dan diganti dengan darah baru dari bank darah. Proses penukaran darah bayi jaundice akan memakan masa 5-6 jam.
Adakah Jaundice Merbahaya?
Jaundice pada bayi tidak boleh dipandang ringan. Ianya berisiko membawa maut.
Kawan yang saya kenal semasa di hospital pernah kematian anak pertama disebabkan demam kuning. Paras bilirubin terlalu tinggi hingga terpaksa buat penukaran darah. Malangnya bayi dia meninggal kerana saraf rosak akibat jaundice.
Paras serum bilirubin yang melampau tinggi boleh menyebabkan kernicterus. Kernicterus berlaku bila bilirubin yang tidak larut tadi menembusi lapisan otak bayi dan merosakkan saraf. Bayi jaundis boleh menjadi lumpuh, pekak, buta atau meninggal dunia.